Friday, April 9, 2010

Cedera

Dulu semasa di sekolah menengah saya dipilih untuk mewakili SMSS untuk sukan bola jaring dan bola keranjang. Saya rasa mungkin tidak sukar bagi mereka yang mengenali saya untuk meneka kenapa saya dipilih. Ketinggian saya dapat dijadikan senjata psikologi semasa berjumpa pihak lawan. Ceh macam bagus padahal sebenarnya tidak ramai yang berminat untuk bermain sukan ini di sekolah dahulu. Ramai yang lebih suka membaca surat dari abang angkat atau peminat rahsia yang meletakkan surat berbedak secara senyap-senyap di dalam meja menggunakan pertolongan seorang perantaraan. Namun pada hakikatnya ini satu strategi yang agak berisiko tinggi kerana terdapat banyak kes di mana orang tengah yang merupakan pagar yang diharap ternyata memakan padi.

Tetapi untuk tidak membuang masa pembaca saya kembali ke topik utama. Pernah sekali sebelum satu perlawanan bola jaring yang penting, saya mengalami kecederaan di kaki akibat perbuatan bodoh diri sendiri. Buku lali saya terseliuh akibat tergelincir dan jatuh sewaktu bermain lumba lari menaiki tangga Bradley dengan seorang rakan yang lain. Guru yang melatih kami bermain bola jaring telah memarahi saya dan berkata: ''Apa pasal awak tak lompat saja dari atas tangga tu ke bawah biar patah kaki terus?''. Keciiiiik hati saya bila cikgu saya berkata begitu. Manalah saya tahu acara lumba naik tangga itu boleh membawa padah. Saya berlumba pun untuk suka-suka saja. Buat menghibur hati. Ya lah abang angkat tak ada, peminat rahsia memang betul-betul berahsia sampai saya tak tahu siapa, dalam meja tak pernah pun saya jumpa surat ''menyatakan hasrat hati''. Kalau budak remaja zaman sekarang ni mungkin dah boleh mengalami kemurungan tahap satu.

Pagi tadi di ofis setelah habis kelas pagi saya terserempak dengan seorang pelajar yang mengikuti kelas saya semester lepas. Dia berjalan terdengkot-dengkot sambil menyeret sahaja selipar yang dipakainya. Bila saya bertanya apa yang terjadi dia memberitahu yang dia tercedera di kaki gara-gara bermain futsal (dan ada beberapa orang pelajar saya yang lain yang sakit kaki akibat permainan ini). Lalu dengan tidak semena-mena dan tanpa berfikir panjang saya terus berkata, ''Hah. Lain kali apa kata awak tendang je tiang gol tu sekali alang-alang awak dah tergeliat kaki. Dah tau exam dah nak dekat apasal awak main futsal beriya sangat?''

Lantas saya terfikir: Oh tidak! Saya sudah dimakan sumpah cikgu bola jaring SMSS saya!

Blogger Templates

No comments:

Post a Comment