Tuesday, February 23, 2010

Kuki

Kuki memanggilnya, "Psstt...mari sini."

Si gadis kecil berbisik, "Shh...jangan bising. Nanti Ibu dengar."

Dia takut rahsia mereka terbongkar. Ibunya tidak tahu Kuki ada di dalam biliknya.

Sekali lagi Kuki menyapanya. "Hei! Puteri cilik! Apa tunggu lagi? Teruskan dengan acara permainan kita."

Dia cuba menyabarkan Kuki. Namun begitu hatinya mula berbunga kegirangan.

Di kaki pintu dia melihat cahaya lampu luar dibayangi tubuh seorang dewasa.

"Sayang, kenapa belum tidur lagi? Sudah lewat malam ni."

"Baik Ibu. Selamat malam."

Sekali lagi Kuki berbunyi di kepala katilnya. "Gadis kecil! Aku sudah tidak sabar lagi!"

"Sayang, siapa tu? Buka pintu ni. Ibu nak masuk."

"Oh, itu cuma TV. "

"Okey. Tidur ya. Esok kita nak pulang ke kampung."

"Okey."

Matanya dipejam rapat. Dia berbaring sambil memeluk tubuhnya. Di dalam kegelapan kamar tidurnya dia menunggu sehingga kedengaran bunyi tapak kaki ibunya beredar.

Si gadis cilik merungut. Kuki telah menyebabkan ibunya marah. Sudah banyak kali dia bilang. Jangan buat bising. Kuki terdiam sejenak. Si gadis kecil merenung tajam ke arahnya.

"Sudahlah. Saya tidak mahu berkawan dengan awak lagi. Saya mahu tidur."

Kuki terkejut. Suara halusnya merayu diberi satu lagi peluang. Tetapi tidak diendahkannya. Kuki diambil dari bawah bantal dan dimasukkan ke dalam mulut. Dan dikunyah perlahan-lahan.

Mmm. Sedap. Rangup. Berperisa coklat. Ada cebisan kismis di tengah-tengah.

Blogger Templates

No comments:

Post a Comment